Blogger Layouts

Tuesday, March 15, 2011

Faiza Bawumi Sayed Ahmad

BERAS FAIZA



Kalau sudah minat, umur bukan menjadi penghalang untuk berjaya. Inilah yang telah dibuktikan oleh pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad.

Ketika kebanyakan wanita yang seusianya berehat di rumah, Faiza pula sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam perniagaan beras di negara ini.Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan lancar.


Wanita ini turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat, di sini yang akan dibina tidak lama lagi katanya kepada Utusan Malaysia di sini.Semangat berniaga bagi wanita yang berasal dari Mesir ini telah tertanam sejak kecil lagi kerana bapanya adalah seorang peniaga kedai makanan.


Beliau tidak menyangka pengalamannya sebagai juruwang di kedai bapanya dahulu telah mendorongnya bergiat serius sebagai peniaga.Menurut Faiza, kejayaannya sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.


Menurut Faiza beliau datang ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.Disebabkan sikapnya yang tidak betah duduk diam, dia mengambil upah menjahit sulaman dan menjual pelbagai barangan dapur.Faiza kemudian membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya dan mengedarkannya di kedai-kedai.

“Sebelum saya menjual beras, saya terpaksa pergi dari rumah ke rumah bertanyakan sama ada pelanggan mahu membeli beras sekiranya saya menjualnya,” katanya.Beliau kemudian memohon lesen pemborong beras dan menjual beras pelbagai jenis termasuk ponni, basmathi, beras wangi, beras siam.


Dalam tempoh sembilan tahun, perniagaan beras keluaran syarikatnya mendapat sambutan baik.Katanya, daripada hanya dikenali di sekitar negeri Johor, jenama Beras Faiza melebarkan sayapnya ke Melaka dan Kuala Lumpur.



JUTAWAN WANITA : Datuk Maznah Hamid

SECURIFORCE SDN BHD



Dalam kesesakkan lalulintas tu, saya terpandang sebuah van sebuah syarikat keselamatan terkenal iaitu "SECURIFORCE SDN BHD" disebelah saya. Memang diakui "Securiforce Sdn Bhd" adalah antara syarikat yang menawarkan khidmat kawalan keselamatan yang terkenal di Malaysia. Antara anak syarikat dibawah "Securiforce Sdn Bhd" ialah Securiforce Electronics, Securiforce Technologies, Securiforce Transport dan Securiforce Logistics.
Bermula daripada sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kawalan keselamatan, ia telah berkembang kepada perkhidmatan kargo,pengangkutan kargo,pembekalan sistem CCTV,central monitoring,sistem kawalan kebakaran dan pelbagai peralatan elektronik.

Siapakah tulang belakang yang mengerakkan syarikat ini dengan jayanya? Mungkin ramai yang fikir tunjang utama syarikat ini adalah lelaki.Beliau adalah Datuk Maznah Hamid. Usahawan wanita bumiputra yang terkenal dengan gelaran "wanita waja" atau "iron lady". Kejayaan beliau tidak perlu disangkal lagi kerana berjaya merangkul beberapa anugerah didalam negara seperti Anugerah Tokoh Usahawan - Dewan perniagaan Melayu Kedah, Anugerah Wanita kehormat- Universiti Putra Malaysia dan pelbagai lagi.

Sedikit sejarah hidup Datuk Maznah Hamid yang boleh dikongsi ialah permulaan beliau memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan kawalan keselamatan. Tahukah anda beliau hanya bermodalkan RM5000 sahaja semasa memulakan perniagaan kawalan keselamatan pada tahun 1981.Pada awal pembabitan dalam perniagaan ini, beliau sendiri turun padang sebagai pekerja menguruskan operasi syarikat daripada bill collector,peronda dan pengawal keselamatan sendiri.

Disinilah sebenarnya beliau dapat melihat bagaimana operasi perniagaan ini berjalan dan segala permasalahan dapat beliau atasi dan perbaiki. Kecekalan dan kesungguhan beliau membuatkan syarikat beliau berkembang kepada 50 buah cawangan diseluruh negara dengan kelengkapan alat kawalan keselamatan yg moden dan terkini.

Kejayaan beliau memang dicemburui banyak pihak tertuamanya bagaimana beliau dapat menjalankan perniagaan tanpa sesenpun bantuan dari pihak bank. Bagi beliau, modal sebenar dalam perniagaan adalah diri kita sendiri.Beliau sangat komited dalam mendidik masyarakat tentang dunia keushawanan dan kejayaan. Penubuhan MMC (Maznah MOtivational Centre) adalah bukti kesungguhan beliau dalam mendidik masyarakat dan melahirkan ramai lagi usahawan yg berjaya.






MONA DIN

HAJABA & LESSA FORMULA


Mona Din dipilih memenangi anugerah Suasana Spa Terbaik

Pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian adalah paling sesuai untuk wanita bersemangat waja ini. Bukan sedikit pahit maung yang dilalui sebelum menduduki tahap selesa yang dikecap kini. Begitupun, keselesaan dan kesenangan yang dimiliki tidak pernah meletakkan beliau dalam keadaan alpa.
Malah, kesusahan yang pernah dilalui dulu dijadikan azimat pembakar semangat untuk diri melangkah ke puncak jaya di samping doa yang tidak putus terhadap Ilahi serta usaha berterusan yang cuba ditingkatkan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan empayar perniagaan yang diceburi.

***Gigih merentas cabaran***

PASTINYA anda pernah mendengar mengenai Leesa Formula, set penjagaan badan untuk wanita yang diasaskan Mona Din, wanita yang menimba pengalaman dalam bidang pengiklanan dan kemudian beralih arah kepada bidang perniagaan selepas mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan daripada tugas yang disandang.

Bermula dengan Leesa Formula yang diasaskan pada 2003, Mona kemudian melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan kecantikan di salun yang dinamakan Serenity Spa. Serenity Spa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya wanita yang peka terhadap penjagaan badan dan diri. Melangkah setapak ke hadapan, Mona meneroka cita rasa pengguna busana muslim dengan memperkenalkan jenama Hajaba.

Bayangkan, dalam tempoh hanya lima tahun, Mona dan suaminya berjaya mempunyai tiga cabang perniagaan yang berbeza iaitu Leesa Formula, Serenity Spa dan Hajaba.

“Saya bermula dengan Leesa Formula dan idea untuk mengeluarkan produk itu tercetus apabila saya mengikut suami menghadiri perbincangan perniagaan beliau. Ketika itu saya masih bekerja sebagai Pengurus Pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan. Selepas beberapa kali menemani suami, saya terlintas untuk menyertai beliau dalam perniagaan. Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka kerana banyak halangan yang terpaksa dilalui,” katanya.

Ketika membuat keputusan menyertai suami menceburi bidang perniagaan atau dalam erti kata lain, menjadi majikan kepada diri sendiri, beliau belum melepaskan jawatan dengan majikan terdahulu dan perkara pertama yang mengasak fikiran beliau ketika itu ialah mendapatkan modal untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.

“Kami memerlukan modal permulaan RM150,000, tetapi sebagai orang yang makan gaji, manalah kita ada wang sebanyak itu. Oleh itu, kami cuba dapatkan pinjaman, walaupun sudah menyediakan kertas kerja lengkap dan mengikut segala syarat yang perlu dilakukan, saya masih menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman. Kebanyakan institusi kewangan hanya memberikan pinjaman apabila perniagaan yang kita bina itu sudah 30 peratus dijalankan.

“Mahu atau tidak, saya dan suami terpaksa meneruskan usaha yang sudah separuh jalan dilakukan dengan menjual dua kereta yang menjadi kegunaan kami setiap hari untuk mengumpul modal permulaan. Segala persiapan ke arah membangunkan perniagaan yang dipilih itu dilakukan dalam tempoh masa setahun. Ketika ini saya belum melepaskan jawatan dengan majikan dan menunggu masa untuk melahirkan anak keenam. Segala-galanya saya lakukan berdua dengan suami,” katanya.

Hasil jualan dua kereta, jenama Estima dan BMW, ditambah wang simpanan kecemasan sebanyak RM50,000, mereka berjaya mengumpul modal untuk memulakan perniagaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dalam kepayahan menguruskan keluarga serta anak sulung yang mengalami masalah kesihatan dan perlukan perhatian lebih, Mona nekad meneruskan.

“Saya sedar kami seperti melakukan satu pelaburan yang belum tentu hasil pulangannya namun berbekalkan keyakinan dan pasrah kepada ketentuan Ilahi, saya dan suami sepakat meneruskannya. Andai perniagaan yang dirancang tidak menjadi, keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu masa dulu pasti sukar berulang. Perkara itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami.

“Saya membulatkan tekat, menguatkan diri dan terus melangkah menghadapi segala onak dan duri tanpa mahu menoleh ke belakang lagi. Itu jugalah yang saya katakan pada suami. Tidak akan ada orang yang akan menolong kami kecuali kami berusaha sendiri. Pada masa sama, anak sulung saya, Nur Salima, semakin kritikal keadaannya kerana ada lubang pada injap jantungnya yang dikesan sejak kecil,” katanya.

Dengan niat ingin menguruskan perniagaan sendiri dan memberi lebih tumpuan kepada tugas menguruskan lima anak ketika itu, Mona akhirnya melepaskan jawatan di syarikat penerbitan itu walaupun perniagaan diusahakan belum menampakkan kejayaan, jauh sekali menuai hasil.

Dalam pada itu, beliau tidak duduk diam menunggu hasil kerana baginya, setiap detik yang berlalu adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.

Justeru, beliau membuat kajian dan penyelidikan berkaitan pemasaran selain apakah lagi kelengkapan penjagaan kesihatan yang diperlukan pengguna dalam usaha mencapai tahap kesihatan yang selesa.

“Bidang perniagaan yang saya ceburi memaksa saya peka dengan banyak perkara. Saya tidak boleh bekerja sendiri kerana barangan penjagaan kesihatan yang ingin dipasarkan memerlukan kelulusan banyak pihak. Secara ringkasnya, banyak tapisan perlu dilalui selain mesti mendapatkan kelulusan pihak terbabit merangkumi pengkaji, penyelidik, pihak berkuasa, pakar pemakanan dan lesen yang sah.

“Malah, sebelum dipasarkan, ujian mesti dilakukan sebelum memperoleh bukti bahan yang dijual adalah selamat. Saya juga mewujudkan garis tertentu selain panduan yang diberikan pihak berwajib terhadap mutu produk yang dikeluarkan. Saya mencuba sendiri produk itu dan jika tidak berpuas hati, ia tidak akan dipasarkan,” katanya.

Mona berkata, kerjasama yang erat dengan pakar farmasi menyumbang kepada kejayaan sesuatu produk. Selepas bertungkus lumus menghasilkan formula set penjagaan badan, terhasillah Leesa Formula terdiri daripada set ibu bersalin, set pelangsingan badan, set kecantikan kulit, set penjagaan payu dara, produk kesihatan aloe vera dan gamat, produk penjagaan tulang dan sendi, set resdung, hidung tersumbat dan alahan muka serta produk intim manjakani.

“Berkat ketekunan saya dan suami, Leesa Formula mencatat kejayaan besar apabila pada bulan pertama, kami peroleh pendapatan RM300,000 menerusi pengambilan stokis di seluruh negara dan ini dijadikan modal pusingan bagi meneruskan perniagaan.

“ Angka itu menjadi penanda aras kepada syarikat kerana selepas bulan pertama, produk Leesa Formula terus berkembang sehinggalah ke hari ini, antara produk paling laris di dalam senarai jenama tempatan di pasaran Malaysia,” katanya.

***Lebar sayap perniagaan***

SELEPAS setahun beroperasi dengan hanya produk Leesa Formula, Mona berjaya membeli sebuah bangunan kedai lot tepi di Seksyen 13, Shah Alam. Enggan bermewah, beliau memutuskan untuk menjadikan tingkat bawah bangunan sebagai ruang pejabat Leesa Formula, manakala tingkat atas dicadangkan untuk perniagaan lain iaitu pusat rawatan badan. Itulah yang membawa kepada perniagaan kedua, Serenity Spa.

Semuanya dilakukan sendiri, bermula dengan konsep dan pemilihan hiasan dalaman, sehinggalah rawatan yang disediakan. Sekali lagi Mona berhadapan dengan situasi yang agak mendebarkan menunggu sambutan pelanggan terhadap spa yang diperkenalkan. Dalam pada itu, beliau tetap memupuk usaha dan menanam azam untuk memperbanyakkan bilangan spa dalam usaha memberikan khidmat kecantikan kepada wanita yang peka terhadap penampilan diri.

“Berkat usaha gigih kami, Serenity Spa yang diusahakan juga membuahkan hasil yang manis. Sejak pembukaan spa pertama itu, saya menerima panggilan daripada beberapa hotel untuk membuka spa itu di premis mereka, tetapi sebagai orang yang baru mula bertatih dalam bidang perniagaan manalah kami ada duit untuk menyewa ruang di hotel. Saya berunding dengan pihak hotel dan Alhamdulillah kami mencapai kata sepakat.

“Bermula dari situ, Serenity Spa semakin berkembang dan kini sudah ada lapan cawangan walaupun pada peringkat permulaan pelbagai kerenah birokrasi dihadapi. Saya dan suami bermula tanpa pengalaman dalam bidang kecantikan. Justeru, kami bersama-sama belajar daripada A hingga Z mengenai titik bengik perniagaan. Turun naik pejabat pihak berkaitan sudah menjadi kebiasaan dan itulah juga asam garam yang membuatkan kami ‘kebal’,” katanya yang cukup beruntung kerana mendapat sokongan padu suami dalam apa saja yang dilakukan.

Kejayaan mewujudkan lapan cawangan spa dalam tempoh 16 bulan menyuntik semangat baru kepada Mona. Pelbagai kajian dilakukan bagi mencari maklumat yang boleh ditawarkan kepada pengguna dalam situasi kini.

Walaupun bergelar ‘tauke,’ status itu tidak melekakan dirinya, malah beliau semakin bersemangat untuk terus merebut peluang yang ada dalam bidang perniagaan.

Mona mengakui bidang perniagaan amat mencabar kemampuan sebenarnya, lebih-lebih lagi bidang perniagaan kecantikan. Ada banyak perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kesihatan. Jika tersilap kenyataan, kesannya amat buruk kepada perniagaan.

Serenity Spa bukan hanya terkenal di seluruh negara, malah empat daripada lapan cawangan berlokasi di hotel terkemuka iaitu di Hotel Concorde Shah Alam, Hotel Grand Bluewave, Tanjung Puteri Golf Resort dan Hotel MSuites Johor Bharu. Spa berkenaan menjadi spa tempatan terbesar di Malaysia. Kejayaan Serenity Spa diiktiraf dengan pelbagai anugerah lain apabila Mona diangkat sebagai Spa Personality of The Year Award pada Januari lalu.

“Saya berharap kemenangan saya ini membuka mata ramai, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pelbagai dugaan dan kerenah birokrasi yang sangat mengecewa serta mematahkan semangat usahawan seperti kami untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan. Walau sukar, saya bertekad untuk melalui semua kesulitan ini atas semangat juang bagi mewakili mereka yang benar-benar mahu berjaya dan mengusahakan bidang spa dengan penuh kejujuran dan bermoral,” katanya.

Tidak puas dengan apa yang dilakukan dan berasa masih ada kekosongan yang boleh diisi dalam bidang perniagaan, Mona mengambil kira keperluan wanita muslim yang ingin tampil bergaya, tetapi pada masa sama menjaga kesopanan dan kesusilaan penampilan mereka.

Penubuhan butik Hajaba pada Mei 2008 yang dipelopori Mona ternyata diterima dengan tangan terbuka oleh pengguna busana muslimah yang menawarkan tudung, telekung, pakaian kasual, pakaian umrah, jubah dan mini jubah kepada pengguna. Sejak pembukaan pertama di Shah Alam, butik Hajaba kini sudah mempunyai enam cawangan di seluruh negara hanya dalam masa empat bulan saja.

Malah, Mona boleh tersenyum lega kerana satu cawangan Hajaba turut sebaris dengan butik bertaraf antarabangsa lain di pusat beli-belah Bangsar Village. Menariknya, seperti Leesa Formula dan Serenity Spa, Hajaba juga ditubuhkan tanpa bantuan kewangan dari bank mahupun agensi kerajaan.

Seperti sebelumnya, Mona sekali lagi bertungkus lumus melakukan hampir semua perkara sendiri tanpa bantuan dari tenaga kerja mahir. Kini tumpuan diberikan kepada Hajaba untuk mengukuhkan kedudukannya di kalangan pengguna busana muslimah.


Saturday, March 12, 2011

Tips berjaya di dalam perniagaan.


Berani memulakan langkah
Ya. memang betul. kebanyakan orang yang kita jumpa selalu berkata, "Aku ingin berjaya. Aku ingin memandu BMW dan sebagainya.. tapi. Dimankah silapnya? sehingga kita masih belum tercapai cita-cita...Berani memulakan langkah dan sentiasa berfikiran positif tanpa memikir kerugian membawa kita ke arah kejayaan..PERCAYA KEPADA DIRI SENDIRI!

Berani keluarkan modal.
Semua tahu perniagaan adalah satu kerjaya yang mampu memberikan kemewahan, kekayaan harta yang berganda. tapi. ramai manakah yang berjaya dalam bidang perniagaan?sejauh manakah perniagaan mampu membawa anda? Percayalah. ianya mampu membawa anda sehingga ke atas!

Berani rugi.
Sesetengah golongan, mereka sangat takut akan kerugian. Mereka fikir, ini adalah membebankan untuk diri mereka. Tidak! kerugian ini adalah bagus di awal permulaan kerana dari kerugian, kita boleh berfikir secara lebih matang dan lebih berhati-hati terhadap apa yang dilakukan. Belajar dari kesilapan jauh lebih baik dari mengulangi kesilapan yang sama berulang kali. Ini beerti, kerugian tersebut mampu mengajar kita untuk
berfikir lebih positif 

CIRI-CIRI UNTUK MENJADI USAHAWAN




1. Keperluan untuk kejayaan
Usahawan sentiasa mempunyai keperluan untuk berjaya dengan cemerlang dalam hidup. Dia sedar hidup yang berjaya adalah hidup yang bermakna.

2. Hasrat untuk menerima hasrat
Seseorang usahawan adalah pengejar risiko. Namun, risiko yang dipilihnya adalah yang sederhana. Dia sukakan cabaran dan kejayaannya mengatasi cabaran akan memberi kepuasan kepadanya.

3. Bebas dari aspek fikiran dan tindakan
Usahawan tidak menjadikan dirinya terkongkong oleh perkara yang akan membantutkan cita-citanya. Dia merancang dan melakukan sendiri apa yang sebaik-baiknya patut dilakukan.

4. Menyelesaikan masalah
Seseorang usahawan akan cuba menyelesaikan masalah dengan cepat dan sebaik mungkin. Dia tidak membiarkan masalah itu bertimbun-timbun hingga gagal diselesaikan. Dia mengambil masalah dan memecahkannya kepada masalah kecil, kemudian menyelesaikannya satu persatu.

5. Sering mengharapkan masa depan yang baik
Usahawan sentiasa mempunyai harapan yang positif mengenai masa depannya. Dia sering berfikir bahawa jika berusaha bersungguh-sungguh dia akan beroleh kejayaan.

6. Mencari persekitaran yang baik
Untuk menjamin bahawa dia tidak terpengaruh oleh gejala negatif, usahawan mencari persekitaran yang baik dan dapat membantunya menjayakan cita-citanya.

7. Keupayaan mempraktikkan sesuatu
Satu formula terpenting bagi seseorang usahawan ialah buat apa yang dirancang. Dia tidak hanya mempunyai banyak idea, tetapi berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan ideanya satu kenyataan.

8. Tampuk kawalan

Seorang usahawan adalah seorang ketua yang berwibawa dalam organisasi perniagaannya. Dia sedar mengenai kepentingan pengurusan manusia dan dapat mengurus pekerjaannya dengan baik. Dia disukai serta dihormati pekerjanya dan mereka bekerja dengan bersemangat penuh kesetiaan. Dia berkebolehan untuk mengawal perniagaannya dengan teratur dan memastikannya berjalan lancar serta memperoleh keuntungan.

9. Kepercayaan timbal balik dengan orang lain
Asas bagi perniagaan ialah saling mempercayai. Seseorang usahawan perlu percaya kepada kebolehan pekerjanya, percaya kepada pembekalnya serta pembelinya. Namun, dia harus menangani perkara ini dengan penuh kebijaksanaan.

10. Keyakinan terhadap kebolehan dirinya sebagai usahawan
Ini sifat yang amat penting. Keyakinanlah yang menyebabkan seseorang usahawan menjadi berani menempuh risiko dan dugaan. Bersama keyakinan inilah dia mampu bergerak maju walaupun dengan bantuan yang sedikit atau tiada bantuan langsung.

11. Kesediaan menerima tanggungjawab
Usahawan itu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Jika dia membuat kesilapan, dia akan bertanggungjawab terhadap kesilapannya itu dan menjadikannya pengajaran serta bertekad tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang.

12. Keupayaan mencuri peluang
Usahawan bijak mengenal pasti peluang. Dia sentiasa berkesempatan me¬ngaut keuntungan atau peluang baru bagi memajukan perniagaannya. Keupayaan mengenal pasti peluang, merebut dan melaksanakannya adalah kualiti penting seseorang usahawan berjaya.

13. Mempunyai cita-cita lebih tinggi
Kebiasaannya manusia akan berhenti di zon selesa dan tidak lagi memasang cita-cita untuk lebih maju. Usahawan berjaya sentiasa menetapkan matlamat yang lebih tinggi apabila cita-citanya selama ini telah dicapai.

14. Konsep diri yang positif
Seorang usahawan berfikir secara positif. Dengan cara ini dia berkebolehan melihat sesuatu masalah sebagai peluang, berbeza daripada ramai insan yang menganggap peluang sebagai masalah.

15. Belajar dari keputusan
Seseorang usahawan itu sentiasa mahu mengetahui sejauh manakah dia berjaya melaksanakan tugasnya. Dia sentiasa mahu mendapatkan maklum balas mengenai pencapaiannya. Maklum balas ini membolehkan dia merangka strategi baru untuk memajukan perniagaan atau membuat keputusan penting.

16. Berperasaan tidak puas hati dan mahu berubah
Usahawan berfikir bahawa sebenarnya dia boleh melakukan lebih baik daripada sebelumnya. Dia sentiasa mencari jalan bagi memperbaiki cara mengurus perniagaan atau produk yang dihasilkannya. Dia melakukan semua ini untuk memajukan lagi perniagaannya.

17. Berorientasikan perancangan
Usahawan menyusun strateginya dengan rapi sebelum dia memulakan sesuatu projek. Dia perlu mengambil kira kemungkinan yang akan berlaku dan mengambil langkah untuk meminimumkan kemungkinan kegagalan pada perkara yang boleh dikawal oleh dirinya. Dia juga mengenal pasti perkara di luar kawalan yang mungkin berlaku dan membuat persediaan awal mengelakkan sebarang akibat buruk yang akan menimpa dirinya. Paling penting pada seorang usahawan ialah merancang masa kerana inilah kunci segala perancangan.

18. Menyedari keperluan menggunakan agensi dan maklumat
Usahawan memerlukan seberapa banyak maklumat yang terkini dan berguna untuk membolehkan dia merancang serta membuat keputusan dalam perniagaannya. Oleh itu, seorang usahawan sentiasa mencari maklumat terbaru dan menggunakan khidmat agensi sebaik mungkin.

19. Menetapkan matlamat
Usahawan fokus pada pencapaian matlamatnya. Ia jelas dan mempunyai nilai dalam hidup. Dia akan melakukan pelbagai usaha yang dirancang rapi untuk matlamatnya itu. Dengan fokus inilah usahawan dapat melakukan sesuatu dengan cara atau usaha yang tidak mampu dilakukan orang lain. Apabila telah mencapai matlamat, dia akan menetapkan matlamat yang lebih cemerlang lagi. Dia sentiasa bergerak menuju kejayaan.

20. Ubah suai pentadbiran
Seseorang usahawan mampu mengubah suai pentadbiran untuk memajukan syarikatnya. Dia akan menggunakan kakitangan dan mengagihkan kerja berdasarkan minat serta kebolehan kakitangan.

21. Kemahiran pengurusan
Pengurusan perniagaan yang efisien dan efektif adalah perlu bagi menjamin kemajuan sesebuah perniagaan. Seorang usahawan perlu mahir dalam merancang, mengorganisasi, mendorong pekerja dan mengawal perniagaan.

22. Rasa kemanjuran (semangat waja)
Semangat yang kental perlu untuk usahawan kerana dalam perniagaan dia akan menempuh pelbagai dugaan dan rintangan. Sesiapa yang dapat menempuh cabaran tersebut, dialah yang boleh berjaya

23. Kepimpinan
Usahawan adalah pemimpin. Mereka bijak dalam menyusun strategi pengaruhnya. Dengan pengaruh, dia mampu mendapatkan lebih banyak peluang yang menguntungkan dalam masa singkat. Seorang usahawan perlu ada daya pengaruh bagi membolehkannya berjaya dalam urus niaga dan mengatur urusan pekerjanya.

24. Kuat berusaha
Seseorang usahawan yang berjaya itu kuat bekerja. Dia sanggup melakukan kerja tanpa mengira masa. Ini dapat dilakukannya kerana dia sukakan kerjayanya.

25. Pandai membuat keputusan
Usahawan pandai membuat keputuan yang bijak untuk membolehkan perniagaan berjalan lancar dan meminimumkan masalah yang bakal timbul. Selain pengetahuan, mereka menggunakan gerak hati.





PEMBUKA BICARA


Ini adalah kali pertama nisa buat blog...Nisa akan cuba buat yang terbaik...INSYAALLAH..Tema blog nie ialah "INSPIRASI USAHAWAN BERJAYA"..Nisa pilih tema nie krn minat yang mendalam dalam perniagaan.. Sedikit sebanyak dapat mmberi PENGETAHUAN dan MOTIVASI DALAM DIRI...Kita perlu menjadikan USAHAWAN YANG TELAH BERJAYA sebagai INSPIRASI untuk kita berjaya seperti mereka..TIDAK MUSTAHIL KAN???
 MELANGKAH ke TAHUN BARU, setiap orang pastinya ingin hidup sebagai 'ORANG BARU'...Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengajaran dan tidak mudah berputus asa..Yang pastinya semangat dan azam baru yang ingin dicapai dapat direalisasikan sebaik mungkin...Lebih bermakna sekiranya kita menjadi individu berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi...Insyaallah...Mudah-mudahan ALLAH mempermudah segala urusan. aminnn...Wlpn
nisa ambil Ijazah BAHASA ARAB&KOMUNIKASI 
Tidak bermakna nisa tidak boleh ceburi dalam bidang perniagaan.Nisa akan jadikan ia sebagai medium untuk terus berusaha..
                                                           
IMPIAN???
           
SEMUA ORANG ADA IMPIAN TERSENDIRI... BEGITU JUGA DENGAN NISA..INSYAALLAH SELEPAS GRADUAN NISA NAK MEMBUKA BUTIK SENDIRI...