Mona Din dipilih memenangi anugerah Suasana Spa Terbaik
Pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian adalah paling sesuai untuk wanita bersemangat waja ini. Bukan sedikit pahit maung yang dilalui sebelum menduduki tahap selesa yang dikecap kini. Begitupun, keselesaan dan kesenangan yang dimiliki tidak pernah meletakkan beliau dalam keadaan alpa.
Malah, kesusahan yang pernah dilalui dulu dijadikan azimat pembakar semangat untuk diri melangkah ke puncak jaya di samping doa yang tidak putus terhadap Ilahi serta usaha berterusan yang cuba ditingkatkan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan empayar perniagaan yang diceburi.
***Gigih merentas cabaran***
PASTINYA anda pernah mendengar mengenai Leesa Formula, set penjagaan badan untuk wanita yang diasaskan Mona Din, wanita yang menimba pengalaman dalam bidang pengiklanan dan kemudian beralih arah kepada bidang perniagaan selepas mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan daripada tugas yang disandang.
Bermula dengan Leesa Formula yang diasaskan pada 2003, Mona kemudian melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan kecantikan di salun yang dinamakan Serenity Spa. Serenity Spa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya wanita yang peka terhadap penjagaan badan dan diri. Melangkah setapak ke hadapan, Mona meneroka cita rasa pengguna busana muslim dengan memperkenalkan jenama Hajaba.
Bayangkan, dalam tempoh hanya lima tahun, Mona dan suaminya berjaya mempunyai tiga cabang perniagaan yang berbeza iaitu Leesa Formula, Serenity Spa dan Hajaba.
“Saya bermula dengan Leesa Formula dan idea untuk mengeluarkan produk itu tercetus apabila saya mengikut suami menghadiri perbincangan perniagaan beliau. Ketika itu saya masih bekerja sebagai Pengurus Pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan. Selepas beberapa kali menemani suami, saya terlintas untuk menyertai beliau dalam perniagaan. Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka kerana banyak halangan yang terpaksa dilalui,” katanya.
Ketika membuat keputusan menyertai suami menceburi bidang perniagaan atau dalam erti kata lain, menjadi majikan kepada diri sendiri, beliau belum melepaskan jawatan dengan majikan terdahulu dan perkara pertama yang mengasak fikiran beliau ketika itu ialah mendapatkan modal untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.
“Kami memerlukan modal permulaan RM150,000, tetapi sebagai orang yang makan gaji, manalah kita ada wang sebanyak itu. Oleh itu, kami cuba dapatkan pinjaman, walaupun sudah menyediakan kertas kerja lengkap dan mengikut segala syarat yang perlu dilakukan, saya masih menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman. Kebanyakan institusi kewangan hanya memberikan pinjaman apabila perniagaan yang kita bina itu sudah 30 peratus dijalankan.
“Mahu atau tidak, saya dan suami terpaksa meneruskan usaha yang sudah separuh jalan dilakukan dengan menjual dua kereta yang menjadi kegunaan kami setiap hari untuk mengumpul modal permulaan. Segala persiapan ke arah membangunkan perniagaan yang dipilih itu dilakukan dalam tempoh masa setahun. Ketika ini saya belum melepaskan jawatan dengan majikan dan menunggu masa untuk melahirkan anak keenam. Segala-galanya saya lakukan berdua dengan suami,” katanya.
Hasil jualan dua kereta, jenama Estima dan BMW, ditambah wang simpanan kecemasan sebanyak RM50,000, mereka berjaya mengumpul modal untuk memulakan perniagaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dalam kepayahan menguruskan keluarga serta anak sulung yang mengalami masalah kesihatan dan perlukan perhatian lebih, Mona nekad meneruskan.
“Saya sedar kami seperti melakukan satu pelaburan yang belum tentu hasil pulangannya namun berbekalkan keyakinan dan pasrah kepada ketentuan Ilahi, saya dan suami sepakat meneruskannya. Andai perniagaan yang dirancang tidak menjadi, keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu masa dulu pasti sukar berulang. Perkara itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami.
“Saya membulatkan tekat, menguatkan diri dan terus melangkah menghadapi segala onak dan duri tanpa mahu menoleh ke belakang lagi. Itu jugalah yang saya katakan pada suami. Tidak akan ada orang yang akan menolong kami kecuali kami berusaha sendiri. Pada masa sama, anak sulung saya, Nur Salima, semakin kritikal keadaannya kerana ada lubang pada injap jantungnya yang dikesan sejak kecil,” katanya.
Dengan niat ingin menguruskan perniagaan sendiri dan memberi lebih tumpuan kepada tugas menguruskan lima anak ketika itu, Mona akhirnya melepaskan jawatan di syarikat penerbitan itu walaupun perniagaan diusahakan belum menampakkan kejayaan, jauh sekali menuai hasil.
Dalam pada itu, beliau tidak duduk diam menunggu hasil kerana baginya, setiap detik yang berlalu adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan begitu saja.
Justeru, beliau membuat kajian dan penyelidikan berkaitan pemasaran selain apakah lagi kelengkapan penjagaan kesihatan yang diperlukan pengguna dalam usaha mencapai tahap kesihatan yang selesa.
“Bidang perniagaan yang saya ceburi memaksa saya peka dengan banyak perkara. Saya tidak boleh bekerja sendiri kerana barangan penjagaan kesihatan yang ingin dipasarkan memerlukan kelulusan banyak pihak. Secara ringkasnya, banyak tapisan perlu dilalui selain mesti mendapatkan kelulusan pihak terbabit merangkumi pengkaji, penyelidik, pihak berkuasa, pakar pemakanan dan lesen yang sah.
“Malah, sebelum dipasarkan, ujian mesti dilakukan sebelum memperoleh bukti bahan yang dijual adalah selamat. Saya juga mewujudkan garis tertentu selain panduan yang diberikan pihak berwajib terhadap mutu produk yang dikeluarkan. Saya mencuba sendiri produk itu dan jika tidak berpuas hati, ia tidak akan dipasarkan,” katanya.
Mona berkata, kerjasama yang erat dengan pakar farmasi menyumbang kepada kejayaan sesuatu produk. Selepas bertungkus lumus menghasilkan formula set penjagaan badan, terhasillah Leesa Formula terdiri daripada set ibu bersalin, set pelangsingan badan, set kecantikan kulit, set penjagaan payu dara, produk kesihatan aloe vera dan gamat, produk penjagaan tulang dan sendi, set resdung, hidung tersumbat dan alahan muka serta produk intim manjakani.
“Berkat ketekunan saya dan suami, Leesa Formula mencatat kejayaan besar apabila pada bulan pertama, kami peroleh pendapatan RM300,000 menerusi pengambilan stokis di seluruh negara dan ini dijadikan modal pusingan bagi meneruskan perniagaan.
“ Angka itu menjadi penanda aras kepada syarikat kerana selepas bulan pertama, produk Leesa Formula terus berkembang sehinggalah ke hari ini, antara produk paling laris di dalam senarai jenama tempatan di pasaran Malaysia,” katanya.
***Lebar sayap perniagaan***
SELEPAS setahun beroperasi dengan hanya produk Leesa Formula, Mona berjaya membeli sebuah bangunan kedai lot tepi di Seksyen 13, Shah Alam. Enggan bermewah, beliau memutuskan untuk menjadikan tingkat bawah bangunan sebagai ruang pejabat Leesa Formula, manakala tingkat atas dicadangkan untuk perniagaan lain iaitu pusat rawatan badan. Itulah yang membawa kepada perniagaan kedua, Serenity Spa.
Semuanya dilakukan sendiri, bermula dengan konsep dan pemilihan hiasan dalaman, sehinggalah rawatan yang disediakan. Sekali lagi Mona berhadapan dengan situasi yang agak mendebarkan menunggu sambutan pelanggan terhadap spa yang diperkenalkan. Dalam pada itu, beliau tetap memupuk usaha dan menanam azam untuk memperbanyakkan bilangan spa dalam usaha memberikan khidmat kecantikan kepada wanita yang peka terhadap penampilan diri.
“Berkat usaha gigih kami, Serenity Spa yang diusahakan juga membuahkan hasil yang manis. Sejak pembukaan spa pertama itu, saya menerima panggilan daripada beberapa hotel untuk membuka spa itu di premis mereka, tetapi sebagai orang yang baru mula bertatih dalam bidang perniagaan manalah kami ada duit untuk menyewa ruang di hotel. Saya berunding dengan pihak hotel dan Alhamdulillah kami mencapai kata sepakat.
“Bermula dari situ, Serenity Spa semakin berkembang dan kini sudah ada lapan cawangan walaupun pada peringkat permulaan pelbagai kerenah birokrasi dihadapi. Saya dan suami bermula tanpa pengalaman dalam bidang kecantikan. Justeru, kami bersama-sama belajar daripada A hingga Z mengenai titik bengik perniagaan. Turun naik pejabat pihak berkaitan sudah menjadi kebiasaan dan itulah juga asam garam yang membuatkan kami ‘kebal’,” katanya yang cukup beruntung kerana mendapat sokongan padu suami dalam apa saja yang dilakukan.
Kejayaan mewujudkan lapan cawangan spa dalam tempoh 16 bulan menyuntik semangat baru kepada Mona. Pelbagai kajian dilakukan bagi mencari maklumat yang boleh ditawarkan kepada pengguna dalam situasi kini.
Walaupun bergelar ‘tauke,’ status itu tidak melekakan dirinya, malah beliau semakin bersemangat untuk terus merebut peluang yang ada dalam bidang perniagaan.
Mona mengakui bidang perniagaan amat mencabar kemampuan sebenarnya, lebih-lebih lagi bidang perniagaan kecantikan. Ada banyak perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kesihatan. Jika tersilap kenyataan, kesannya amat buruk kepada perniagaan.
Serenity Spa bukan hanya terkenal di seluruh negara, malah empat daripada lapan cawangan berlokasi di hotel terkemuka iaitu di Hotel Concorde Shah Alam, Hotel Grand Bluewave, Tanjung Puteri Golf Resort dan Hotel MSuites Johor Bharu. Spa berkenaan menjadi spa tempatan terbesar di Malaysia. Kejayaan Serenity Spa diiktiraf dengan pelbagai anugerah lain apabila Mona diangkat sebagai Spa Personality of The Year Award pada Januari lalu.
“Saya berharap kemenangan saya ini membuka mata ramai, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan pelbagai dugaan dan kerenah birokrasi yang sangat mengecewa serta mematahkan semangat usahawan seperti kami untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan. Walau sukar, saya bertekad untuk melalui semua kesulitan ini atas semangat juang bagi mewakili mereka yang benar-benar mahu berjaya dan mengusahakan bidang spa dengan penuh kejujuran dan bermoral,” katanya.
Tidak puas dengan apa yang dilakukan dan berasa masih ada kekosongan yang boleh diisi dalam bidang perniagaan, Mona mengambil kira keperluan wanita muslim yang ingin tampil bergaya, tetapi pada masa sama menjaga kesopanan dan kesusilaan penampilan mereka.
Penubuhan butik Hajaba pada Mei 2008 yang dipelopori Mona ternyata diterima dengan tangan terbuka oleh pengguna busana muslimah yang menawarkan tudung, telekung, pakaian kasual, pakaian umrah, jubah dan mini jubah kepada pengguna. Sejak pembukaan pertama di Shah Alam, butik Hajaba kini sudah mempunyai enam cawangan di seluruh negara hanya dalam masa empat bulan saja.
Malah, Mona boleh tersenyum lega kerana satu cawangan Hajaba turut sebaris dengan butik bertaraf antarabangsa lain di pusat beli-belah Bangsar Village. Menariknya, seperti Leesa Formula dan Serenity Spa, Hajaba juga ditubuhkan tanpa bantuan kewangan dari bank mahupun agensi kerajaan.
Seperti sebelumnya, Mona sekali lagi bertungkus lumus melakukan hampir semua perkara sendiri tanpa bantuan dari tenaga kerja mahir. Kini tumpuan diberikan kepada Hajaba untuk mengukuhkan kedudukannya di kalangan pengguna busana muslimah.