Blogger Layouts

Sunday, April 10, 2011

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Pendidikan - SPM 
Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
 
Kekayaan -RM1,425 juta
 
Ke 8 terkaya di Malaysia
 
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
 

Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. 

Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. 


Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal's.



Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi. 
*** Mula berniaga ***

Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.


Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.


Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.



Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu. 


Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.



Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Menurut majalah Malaysian Business beliau mempunyai harta bernilai RM2.93 billion pada 2005 seterusnya menjadi orang kelapan terkaya di Malaysia.Beliau merupakan anak Melayu yang kini tersenarai dalam Forbes sebagai seorang billionaire, dalam kedudukan ke 754 dunia.
SUMBANGAN TAN SERI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY


Masjid AlBukhary terletak di Jalan Langgar Alor Setar Kedah berdekatan dengan Souq AlBukhary yang menempatkan Pasaraya Giant. Masjid yang indah ini dibina oleh Yayasan Al Bukhary yang menjadi sebahagian daripada Kompleks Al-Bukhary di persimpangan Jalan Tuan Abdul Razak dan Jalan Langgar terdiri daripada Pusat Perdagangan Souq Al-Bukhary, Pusat Rawatan/Perubatan Al-Bukhary, Pusat komuniti rumah anak-anak yatim dan warga tua dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary.
Kompleks Yayasan Al-Bukhary yang berkonsepkan pondok moden dibina dengan kos RM400 juta dengan keluasan 11.6 hektar dan siap sepenuhnya pada tahun 2004. Kompleks berkenaan dibina di atas tanah asal milik datuknya dan Masjid tersebut juga asalnya dibina oleh datuknya. Projek pembinaan Universiti Antarabangsa Albukhary bernilai RM500 juta yang boleh menampung 3,000 pelajar siap dibangunkan pada tahun 2009.
Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.


Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.



Sumbangan beliau kepada khazanah seni Islam dan pembangunan pendidikan sahsiah Islam Negara amatlah tidak terhingga nilainya, seperti dengan terbina dan dibangunkan Muzium Kesenian Islam, di Jalan Lembah Perdana (sebelah Masjid Negara), Kuala Lumpur.

3 comments:

  1. emailkan biografi full tokoh syed moktar shah kat sy :) pasal latar blakang, perkahwinan, pendidikan, sumbangan, pencapaian dan anugerah ..

    ReplyDelete
  2. Berniaga adalah pekerjaan yang mulaia jika diurus tadbir dengan jujur dan bersih, tanpa unsur riba dan penipuan kerana 9/10 dari rezeki yang dikurniakan Allah adalah datangnya dari usaha perniagaan, Insya Allah.Taniah kepada usahawan ini yang berjaya agar memberi manfaat kepada ekonomi ummah di Malaysia.

    ReplyDelete
  3. Berniaga adalah pekerjaan yang mulaia jika diurus tadbir dengan jujur dan bersih, tanpa unsur riba dan penipuan kerana 9/10 dari rezeki yang dikurniakan Allah adalah datangnya dari usaha perniagaan, Insya Allah.Taniah kepada usahawan ini yang berjaya agar memberi manfaat kepada ekonomi ummah di Malaysia.

    ReplyDelete